Malaysia hari ini, situasi negara
semakin maju dan membangun dengan kepesatan dalam pelbagai bidang
termasuklah pembangunan ekonomi, peningkatan kualiti hidup, masyarakat
yang berilmu dan juga masyarakat yang berdaya maju.
Tambahan
pula, prinsip pembangunan tersebut digilap dengan asas keIslaman yang
dipandang sebagai suatu teori sejajar dengan kemajuan masyarakat. Islam
Hadhari menjadi satu garis panduan berasaskan prinsip sebenar Islam di
dalam menggalakkan peningkatan terhadap kemajuan dan pembangunan yang
seterusnya akan menjamin kualiti hidup.
Masyarakat
pula semakin sedar untuk hidup berlumba-lumba mempertingkatkan status
kedudukan sebagai suatu kelompok yang berdaya maju dan bertanggungjawab
terhadap hal ehwal dan permasalahan serta keperluan negara. Dengan sikap
majoriti secara dominan sebagai suatu masyarakat produktif dan
berwibawa, maka negara kita semakin menuju ke arah kecemerlangan,
kegemilangan dan terbilang.
Di sebalik pembangunan fizikal dan kebendaan tersebut, kita sebagai masyarakat yang terbilang perlu mempunyai agenda tersendiri agar tidak semata-mata hanya mempunyai infrastruktur kelas pertama tetapi memiliki mentaliti kelas ketiga. Masyarakat perlu memperkukuh lagi aspek budi bahasa dan nilai-nilai murni yang semakin diabaikan sejak akhir-akhir ini.
Sebagai rakyat
Malaysia kita perlu ada kesedaran mengenai asal usul dan acuan kita
sendiri yang boleh dilabelkan sebagai "Orang Timur". Orang Timur bukan
hanya dikenali dengan penilaian rupa bentuk fizikal sahaja. Akan tetapi
kita mewarisi satu khazanah paling berharga yang yang menjadikan kita
sebagai masyarakat Timur yang berwibawa.
Dari
aspek kenegaraan pula, Perdana Menteri kita pada 11 Januari 2005 lalu
menggambarkan bahawa "Budaya dan sistem nilai itulah yang sebenarnya
menjadi kayu ukur dan mercu tanda sebuah negara maju." Demikian
diucapkan pada majlis pelancaran Kempen Budi Bahasa dan Nilai-nilai
Murni.
Demikianlah betapa
pentingnya peranan budi bahasa dan nilai-nilai murni dalam aspek
kemajuan kita "sendiri" sebagai masyarakat timur atau masyarakat
‘melayu'. Kepentingannya adalah meliputi matlamat Malaysia yang
mempunyai matlamat mencapai Wawasan 2020 dan menjadi bangsa yang
Cemerlang, Gemilang dan Terbilang. Matlamat yang lebih penting di
sebaliknya adalah menjadi sebuah masyarakat yang maju mengikut cara kita
sendiri dengan erti kata menambahkan peningkatan hidup dan kemajuan
tanpa mengurangi nilai-nilai penting khazanah bangsa kita sendiri.
Budaya
berbudi bahasa dan mengamalkan nilai-nilai murni bukan sekadar perlu
dipertahankan bahkan perlu diperkayakan lagi agar ia tidak mengalami
kepupusan serta sentiasa berkesinambungan untuk diwarisi daripada
generasi ke generasi seterusnya. Usaha kita mempertahankan budaya dan
adat resam perlu juga disertai dengan aspek tingkah laku berbudi bahasa.
Malaysia
memerlukan pembangunan nilai dan budaya yang betul. Nilai-nilai yang
terlibat adalah seperti ketulusan, kejujuran, intergriti, adil, amanah
dan akauntabiliti. Dengan ini, kita bukan sahaja mampu membentuk aspek
pembangunan luaran semata-mata, akan tetapi perlu juga memperbaiki aspek
dalaman yang dikenali sebagai aspek keperibadian untuk menjadikan
masyarakat kita sebagai suatu masyarakat yang benar-benar bertamadun.
Walaupun
berbudi bahasa dan nilai-nilai murni itu secara istilahnya bukan
disebut sebagai Akhlak mulia, namun ia tetap membawa maksud yang sama.
Sesuai dengan galakan agama yang menyatakan kepentingan menjaga suara
hati dan pertuturan sebagai garis permulaan mempertingkatkan budi
pekerti diri. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Allah tidak suka
kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus terang
(untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang
dianiayakan. Dan (ingatlah) Allah sentiasa mendengar,lagi maha
mengetahui." (Surah an-Nisa'ayat 148)
Rasulullah saw pernah bersabda yang maksudnya: "Sesungguhnya Allah menyukai sikap berlemah lembut dalam semua perkara."
Budi
bahasa dan nilai-nilai murni harus dipraktikkan di setiap aspek
kehidupan agar keindahan Islam itu akan memberi kesan baik yang
menyeluruh terhadap kemaslahatan sesebuah masyarakat.
Masyarakat
kini digesa untuk menghidupkan dan menghangatkan kembali nilai murni
dalam kehidupan seharian. Walau apa pun status dan kerjaya kita sebagai
seorang generasi millenium atau kita terlibat dengan penglibatan
antarabangsa, maka berpasak teguhlah pada peribadi budi seorang yang
berbudi bahasa.
Kemajuan
dunia merangsang kita untuk bekerja, berdaya maju dan berusaha. Tetapi
jangan sampai kemajuan itu mengajarkan kita pada perkara yang
sebaliknya. Iaitu mengurangi nilai-nilai murni yang sedia ada dan pernah
menjadi suatu kebanggaan atau aset bangsa.
Setiap
golongan dan peringkat memainkan peranan untuk bekerjasama mempertahan
dan memperkukuhkan budaya menjadikan budi bahasa dan pengamalan
nilai-nilai murni sebagai satu cara dan gaya hidup berkesinambungan.
Permulaan
yang baik adalah bermula daripada institusi keluarga yang menekankan
tanggungjawab memberi pendidikan berdasarkan autoriti ibu bapa kepada
anak-anak. Permulaan daripada kelompok keluarga adalah lebih berkesan
dan lebih sesuai dijadikan sebagai tempat berkesinambungannya khazanah
budaya berbudi bahasa dan nilai-nilai murni.
Dalam
memanfaatkan kepentingan budi bahasa dan pengamalan nilai-nilai murni
sebagai satu agenda pembangunan material dan mentaliti, adalah suatu
yang perlu untuk membudaya dan memperteguhkan etika kerja berdasarkan
pendekatan tersebut. Anggota perkhidmatan awam dan jabatan-jabatan yang
bertanggungjawab dalam perkhidmatan penguatkuasaan seperti polis,
imigresen dan semua yang terlibat dengan khidmat pelanggan khususnya
haruslah memberi perkhidmatan dengan penuh beradab. Tutur kata yang
mesra, bersopan dan sentiasa membantu adalah tunggak kecemerlangan bagi
sesebuah perkhidmatan.
Suatu
masa dahulu, senario di sekitar pengangkutan awam pernah menggambarkan
suasana kesopanan dan budi bahasa yang boleh dibanggakan. Namun
sekarang, masyarakat boleh merasa malu untuk mempraktikkan nilai-nilai
murni di khalayak ramai kerana keprihatinan telah berkurang sehingga
boleh muncul mentaliti mempersenda nilai-nilai yang baik.
Secara
tidak sedar, pelbagai gejala negatif akan boleh timbul akibat daripada
kepupusan budi bahasa dan nilai murni. Orang timur pada kebiasaannya
memang lemah lembut dan sensitif jiwanya terhadap budi bicara. Hubungan
dan keharmonian boleh porak peranda hanya kerana kekurangan budi bahasa.
Bak kata pepatah "Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan
binasa".
Kalau tiada
nilai-nilai murni, maka rosaklah tingkah laku masyarakat kita.
Kerosakannya bukan hanya menyentuh aspek kesihatan atau kecacatan jiwa,
bahkan menular ke pembangunan fizikal. Mentaliti kita adalah membina.
Bukan merosak apa yang telah terbina. Tanpa nilai murni, remaja kita
berperangai sewenang-wenangnya. Membudayakan vandalisme, gangsterisme,
samseng jalanraya, gangguan seksual dan pelbagai jenis perlakuan
delinkuen akan menjadi sorakan di persekitaran negara kita.
Justeru,
setiap pihak perlu positif dan turut serta membudayakan budi bahasa dan
nilai murni sebagai gaya hidup yang sempurna. Perjuangan sebuah bangsa
itu bukan sekadar mempertahankan kuasa dan labelnya sebagai suatu
‘bangsa'. Tetapi harus diingat juga bahawa praktik di samping
mempertahan dan memperkukuhkan khazanah bangsa adalah sangat bermakna.
Kerajaan
negeri Johor mengenai agenda ini mempunyai pendekatan tersendiri yang
bersifat holistik atau menyeluruh. Di bawah program Pembangunan
Beridentiti, telah banyak program-program yang bermanfaat telah dirangka
bagi mempastikan pembangunan masyarakat itu sejajar dengan mutu
identiti tersendiri.
Di
dalam memartabatkan khazanah budaya, sikap berbudi bahasa dan
nilai-nilai murni, program pembentukan dan didikan kekeluargaan dikenal
pasti sebagai satu pendekatan paling efektif dan mesra masyarakat.
Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta'zim di negeri Johor telah
menjalankan peranannya mendidik institusi keluarga melalui Modul
Keluarga Sakinah yang menyentuh setiap peringkat kekeluargaan dari
permulaan hidup hinggalah ke akhir hayat. Modul tersebut dikesan dapat
menyerapkan sentimen mengamalkan nilai-nilai murni di peringkat
keluarga.
Pemupukan
nilai-nilai murni ini juga diserapkan melalui pendekatan tidak langsung
menerusi program-program sihat di dalam memastikan kebudayaan dan
kesenian adalah seiring dengan pembangunan ekonomi dan fizikal. Kerajaan
negeri terus memberi tumpuan terhadap pembangunan seni dan budaya yang
meliputi bidang teater, permainan tradisional, seni tari,seni muzik,
seni silat, pemuliharaan budaya, Kembara Puisi Darul Ta'zim dan
sebagainya. Penglibatan-penglibatan ini diharap dapat memberikan kesan
halus kepada masyarakat Johor untuk menghayati nilai-nilai murni di
sebalik kebudayaan-kebudayaan tertentu.
Program-program
Gaya Hidup Sihat juga banyak menitik beratkan sumber nilai-nilai murni
apabila kerajaan menggalakkan penglibatan sukarela daripada hampir
setiap golongan menyertai Program Rakan Muda, J-Robik, Belia dan
PROSTAR.
Negeri Johor akan terus menerus mempertahankan budaya agar nilai-nilai murni dan budi bahasa yang dianggap paling penting di dalam pengamalan budaya itu dapat diperah dan menjadi identiti masyarakat secara umumnya.