Monday, December 10, 2012

Langkah-langkah untuk memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan kanak-kanak

Nilai murni boleh ditakrifkan sebagai amalan yang baik dalam kehidupan, umpamanya hormat-menghormati, tolong-menolong, prihatin, bersimpati, berperikemanusian dan lain-lain lagi.  Namun, pada era dunia tanpa sempadan ini, amalan murni ini semakin lenyap ditelan zaman.
Obligasi untuk memupuk nilai-nilai murni ini tidak harus dipandang enteng oleh setiap ibu bapa dan haruslah dijulang sampai ke langit.  Ibu bapa harus mendidik amalan ini sejak anak-anak merah tapak kaki lagi, bak kata pepatah, melentur buluh, biarlah dari rebungnya.  Hal ini kerana secara analoginya, kanak-kanak diibaratkan kain putih dan ibu bapa merupakan warna yang akan mencorakkan kehidupan anak-anak mereka.  Misalnya, ibu bapa harus menerapkan ajaran agama yang mantap dalam atma anak-anak dengan membawa mereka untuk mendekati Tuhan seperti dengan bersembahyang dan mengikut anutan agama masing-masing.  Selain itu, mereka haruslah mengajar anak-anak untuk menghormati orang tua dan menyayangi haiwan.  Mereka mestilah  memberi amaran kepada kanak-kanak supaya tidak bersikap biadab terhadap sesiapa sahaja apatah lagi ahli keluarga sendiri.  Malah, mereka harus mendidik kanak-kanak tentang cara bercakap dengan orang tua dan tingkah laku semasa berada di rumah orang.  Apabila selalu terdedah kepada pengajaran sedemikian, kanak-kanak boleh membezakan antara intan dengan kaca dan antara batu dengan permata. Dalam konteks ini, ibu bapa juga haruslah menjadi teladan yang terbaik kepada anak-anak dengan bersikap sopan santun kerana pepatah Melayu ada mengatakan bahawa bapa borek anak rintikIkhtisarnya, ibu bapa perlu berpegang kepada prinsip jika menebang menuju pangkal, jika melanting menuju tangkai dalam mendidik anak-anak agar mereka mengamalkan nilai-nilai murni  yang disanjungi, bak rangkap sajak berikut,

Hikayat Melayu disanjungi warisan,
Menjadi wahana penglipur nestapa,
Anak bersopan tonggak wawasan,
Berkat usaha ibu dan bapa.

Sementelahan itu, peranan pendidikan formal dalam memupuk nilai-nilai murni dalam sukma kanak-kanak tidak harus kita kesampingkan.  Amalan nilai-nilai murni dalam kehidupan misalnya nilai bertanggungjawab, rasional, kepercayaan kepada Tuhan, amanah, toleransi, berhemah tinggi, kesederhanaan, kasih sayang, menyayangi dan menghargai alam sektiar, hidup bersama secara aman, mematuhi peraturan dan undang-undang wajar diterapkan dalam subjek Pendidikan Moral,  Pendidikan Sivik Dan Kewarganegaraan, serta Pendidikan Agama Islam.  Kendatipun, untuk mencapai misi yang komprehensif dan konkrit, nilai-nilai murni haruslah diamalkan secara berkesan.  Bertitik tolak daripada itu, pihak sekolah boleh menganjurkan minggu Budi Bahasa Budaya Kita dan memberi anugerah Pelajar Sopan kepada pelajar yang bersikap sopan santun, menghormati guru-guru dan berhemah tinggi sepanjang  berada di sekolah supaya boleh menjadi suri teladan kepada pelajar lain.  Tambahan pula, para pendidik  harus mementingkan amalan nilai murni dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) dengan mengajar murid-murid terutama pelajar sekolah rendah tentang adab sopan ketika berada di dalam kelas, adab sopan ketika berkomunikasi dengan guru dan rakan.  Hal ini kerana misi pendidikan negara kita bukan sahaja untuk melahirkan pelajar yang cemerlang dalam kurikulum dan kokurikulum, malah juga untuk melahirkan modal insan yang mengamalkan nilai-nilai murni, bermoral dan bertatasusila, sejajar dengan prinsip kelima Rukun Negara, yakni Kesopanan dan Kesusilaan.  Deduksinya, sudah terang lagi bersuluh bahawa pendidikan merupakan senjata yang dominan untuk memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan kanak-kanak. 
Rentetan iu, kerajaan juga sewajarnya memandang serius masalah yang berkaitan sahsiah kanak-kanak bagai menghela rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berserak.  Pihak kerajaan sepatutnya bersendel bahu dengan pihak media massa dan badan bukan kerajaan (NGO) seperti Astro, Persatuan Karyawan Malaysia dan lain-lain lagi untuk menggerakkan kempen Budi Bahasa Budaya kita secara menyeluruh di tanah air kita kerana bersatu teguh bercerai roboh. Barangkali, kempen yang dianjurkan oleh kerajaan tidak berkesan kerana tidak disokong oleh banyak pihak, termasuklah syarikat-syarikat swasta yang bersikap bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Buktinya, kempen Kami Prihatin gagal mengurangkan “kemelut sosial” yang semakin berleluasa dalam masyarakat kita, iaitu isu pembuangan bayi.  Berikutan itu, kempen Budi Bahasa Budaya kita hanya akan berjaya sekiranya semua pihak melibatkan diri dalam pelaksanaannya. Dalam pada itu, kempen ini perlu disempurnakan di peringkat awal persekolahan, iaitu tadika untuk memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan kanak-kanak.  Ceramah, pertandingan menulis esei, melukis poster, pertandingan syarahan, pertandingan kuiz dan sebagainya boleh dilaksanakan sempena kempen ini.  Pihak sekolah pula haruslah mewajibkan penglibatan murid-murid dalam kempen ini untuk memastikan keberkesanannya, bak kata pepatah, bulat air kerana pembuluh, bulat kata kerana muafakat.  Selain itu, kempen tersebut haruslah disokong oleh artis-artis tempatan dan luar negara yang menjadi idola masyarakat, seiring dengan trend pemuda-pemudi kini yang suka mengikut jejak langkah idola mereka dari semua aspek.  Jelaslah menunjukkan bahawa kempen-kempen yang mendapat sokongan semua pihak mampu mencapai matlamat melahirkan kanak-kanak yang bersahsiah mulia.
Di samping itu, peranan media massa, sama ada media cetak dan media elektronik amat dominan dalam usaha memupuk nilai-nilai murni dalam atma kanak-kanak.  Berdasarkan penyelidikan, dipercayai bahawa kecanggihan teknologi media seperti televisyen, radio dan internet serta akhbar arus perdana mampu mempengaruhi akhlak kanak-kanak kerana kanak-kanak pada era moden ini sememangnya sudah celik teknologi maklumat.  Mereka akan  tergila-gila kepada media baru.  Oleh hal yang demikian, pihak media massa bolehlah mengambil kesempatan ini untuk menyiarkan iklan, dokumentari, drama dan paling penting, siaran kartun yang semestinya menjadi kegemaran kanak-kanak. Misalnya, iklan tentang seorang kanak-kanak yang memberi tempat duduk kepada orang tua di dalam komuter yang kerap disiarkan di TV3 dan iklan kanak-kanak membantu seorang wanita tua mengangkat barang amat berkesan kepada penonton.  Malahan, drama-drama seperti “Precious Babies”, “Three Pads”, “One Mom”, “Hwang Jin Yi”, “Next Stop, Happiness” dan lain-lain lagi mengandungi  babak-babak yang menonjolkan kepentingan nilai-nilai murni yang boleh dipelajari dan seterusnya diamalkan oleh kanak-kanak dalam kehidupan seharian. Jadi, sudah terang lagi bersuluh, bahawa media massa merupakan wadah yang paling sesuai untuk memupuk nilai-nilai murni dalam sanubari kanak-kanak. 
Akhirulkalam, semua pihak sewajarnya berganding bahu untuk mengorak langkah yang afdal bagi memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan kanak-kanak agar memacu pembangunan negara untuk memakbulkan hasrat mencapai Wawasan 2020.  Kita sedia maklum bahawa kekurangan nilai-nilai murni dalam  diri individu akan menyumbang kepada pelbagai gejala sosial yang semakin meruncing dalam masyarakat.  Selaras dengan peribahasa Melayu yang mengatakan tiada keruh yang tidak dapat dijernihkan, tiada kusut yang tidak dapat dileraikan, bersama-samalah kita memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan kanak-kanak.

2 comments: