Monday, December 24, 2012

Nilai Murni Yang Perlu Diamalkan Oleh Pelajar

Amalan nilai-nilai murni di kalangan pelajar tidak boleh dipandang ringan. Sebagai pelajar, terdapat beberapa nilai-nilai murni yang perlu diamalkan di sekolah.
Antara nilai-nilai murni yang perlu diamalkan oleh pelajar di sekolah ialah nilai kerajinan. Pelajar akan cemerlang dalam pelajaran jika mengamalkan nilai kerajinan di sekolah. Pelajar juga mestilah rajin membaca buku dan membuat kerja rumah. Pelajar juga mestilah rajin mengulang kaji pelajaran terutama apabila menjelang hari peperiksaan.
Selain itu, pelajar juga perlu mengamalkan nilai mematuhi peraturan sekolah pada setiap masa. Pelajar perlu menyedari bahawa tujuan peraturan sekolah dibuat untuk membolehkan pelajar belajar dengan baik. Peraturan sekolah juga dibuat adalah untuk kebaikan para pelajar iaitu supaya pelajar berasa selamat ketika berada dalam kawasan sekolah. Oleh itu, pelajar yang melanggar peraturan sekolah wajar dikenakan tindakan disiplin.

Nilai lain yang perlu diamalkan oleh pelajar ialah nilai bekerjasama. Contohnya, pelajar perlu bekerjasama membersihkan kelas dengan rakan-rakan sekelas. Pelajar juga perlu bekerjasama dalam membuat kerja-kerja kumpulan yang diberi oleh guru. Sikap kerjasama yang ditunjukkan oleh pelajar akan menyebabkan pelajar disukai rakan-rakan dan juga guru-guru.
Di samping itu, pelajar juga mesti mengamalkan nilai bertolak ansur atau toleransi. Amalan nilai tolak ansur akan menghindarkan pelajar daripada pergaduhan atau permusuhan. Pergaduhan di kalangan pelajar memang wajar dielakkan terutama apabila melibatkan kaum yang lain. Setelah pelajar tamat persekolahan, amalan nilai bertolak ansur mesti terus diamalkan supaya negara berada dalam keadaan aman dan tenteram.
Pelajar juga perlu mengamalkan nilai menghormati guru. Hal ini kerana guru banyak berjasa kepada pelajar seperti mengajar pelajar ilmu pengetahuan. Pelajar yang mengamalkan nilai menghormati guru pasti akan disukal dan disayangi guru. Pelajar juga akan dianggap sebagai pelajar yang balk dan mereka pasti akan berjaya dalam pelajaran dan juga kehidupan.

Monday, December 17, 2012

Menepati Janji Lambangkan Nilai Murni Dan Patriotisme




Menyentuh tentang slogan ‘Janji Ditepati’, Abdul Aziz berpendapat tema pilihan itu amat sesuai dan relevan dinyatakan sebagai tanda kejayaan Merdeka tahun ini.

Ini kerana, kerajaan telah melaungkan pelbagai janji dalam pelbagai kempen sejak sebelum Merdeka lagi, tetapi mereka tidak pernah menghampakan rakyat dalam menepati janji selepas setiap pilihan raya.

“Antara janji kerajaan yang paling penting adalah memastikan aspek keselamatan rakyat, bukan sahaja dalam tempoh setiap lima tahun pemerintahan tetapi untuk puluhan malah ratusan tahun panjang jangka masanya,” kata beliau.

Aspek keselamatan diusahakan kerajaan dengan tegas melalui usaha gigih pemimpin negara yang sama sekali tidak dapat ditandingi negara lain terutama banyak negara Arab dan Afrika yang sering dilanda wabak perang saudara.

Mengimbau kenangan kempen sebelum Merdeka 55 tahun lalu, beliau masih ingat Tuanku Abdul Rahman Putra berjanji akan membina jalan raya sempurna merentangi Johor hingga ke Kedah.

Walaupun secara berseloroh beliau menyebut ‘saya pun senang mau balik Kedah’, janji itu segera beliau tunaikan bersama janji-janji lain selepas Parti Perikatan menang pilihan raya.


CERMIN AKHLAK DAN ETIKA

Selain itu, ‘Janji Ditepati’ boleh dikira sebagai satu slogan yang cukup patriotik dijadikan tema negara lantaran nilai murni itu mencerminkan akhlak dan etika dalam kehidupan manusia.

Kupasan konsep menepati janji antara negara dan rakyat serta sebaliknya boleh juga ditafsirkan daripada sudut peluang pendidikan sejak awal kemerdekaan ketika rata-rata rakyat dibelenggu kemiskinan hingga ke zaman ini.

Ketulusan pemimpin membangunkan negara cukup terserlah apabila majoriti rakyat berjaya mengecapi kehidupan mewah dalam pelbagai bentuk, tetapi kerajaan masih tidak berhenti memastikan kita berpeluang mendapat pendidikan sempurna.

Presiden Institut Integriti Malaysia Datuk Dr Mohd Tap Salleh menunjukkan bahawa kerajaan masih membiayai lebih 80 peratus daripada kos pendidikan di negara ini walaupun kita jauh lebih kehadapan berbanding banyak negara lain.

“Ini adalah prinsip menepati janji yang amat menarik memandangkan ia dilakukan secara berterusan selama lebih 55 tahun tanpa gagal,” kata pemegang ijazah falsafah kedoktoran Perancangan Pembangunan daripada Universiti of Bath di United Kingdom.


NIKMAT PENDIDIKAN PERCUMA

Tidak banyak kerajaan di dunia yang menyediakan platform pendidikan percuma, manakala yang ada pun kebanyakannya sehingga tempoh pendidikan asas sahaja.

Beliau sendiri tidak segan mengakui pernah bergantung sepenuhnya kepada bantuan biasiswa kerajaan yang diterima sejak dibangku sekolah hingga ke peringkat ijazah di Monash University dan sarjana di University of Wales sebelum menerima PhD.

Hakikatnya bantuan itu banyak membantu kehidupan rakyat jelata ketika itu, termasuk keluarga beliau sendiri apatah lagi ibunya adalah ibu tunggal yang membesarkan anak-anak secara sendirian selepas kematian bapanya.

“Dulu ramai pelajar cemerlang tetapi yang kurang berkemampuan termasuk saya menerima pembiayaan penuh melanjutkan pelajaran hingga ke luar negara dan jasa itu dihargai melalui sumbangan perkhidmatan dalam kerajaan,” jelasnya yang telah berkhidmat sebagai pegawai tinggi kerajaan sejak 1973.

Kalau mengikut umur beliau telahpun bersara tujuh tahun lalu, tetapi beliau masih lagi bersedia menabur jasa dengan ikhlas hati selagi negara memerlukan ilmu dan pengalaman beliau.

“Untungnya, generasi selepas merdeka tidak perlu banyak bersusah payah kerana nikmat kemerdekaan dan peluang yang luas telah dibentangkan oleh generasi terdahulu,” kata Mohd Tap.

Untuk generasi zaman ini, tambahnya, kerajaan telah melantik pelbagai agensi untuk menyediakan bantuan pendidikan dalam usaha memastikan anak muda mendapat peluang pendidikan terbaik.

Beliau menyifatkan semua bentuk bantuan yang dicetus kerajaan merupakan satu bentuk kesaksamaan pendidikan sama rata yang membolehkan pelajar miskin berpeluang mendapat pendidikan setinggi yang boleh, sama seperti golongan kaya.

Bantuan ini termasuk Yayasan Pendidikan Mara, dan agensi lain yang menyediakan laluan pendidikan luar negara dalam pelbagai bidang selain pelbagai tabung pendidikan khas seperti PTPTN.


JANJI BAYAR BALIK PTPTN

“Menggunakan dana tabung itu sendiri telah mengikat pelajar dengan janji dan menjadi tanggungjawab peminjam untuk menepati janji melalui pembayaran semula dengan segera apabila mula bekerja,” kata Mohd Tap.

Baginya, membayar pinjaman bukan sahaja merupakan sifat menepati janji yang murni tetapi satu tindakan patriotik mulia yang boleh dilakukan generasi kini.

“Wang pembayaran balik itu akan diguna semula membantu generasi seterusnya mendapat pendidikan terbaik dan ini secara tidak langsung menjana pembangunan sosio-ekonomi anggota masyarakat,” jelas beliau.

Hakikatnya kebanyakan peluang pendidikan negara masih lagi percuma, malah peminjam PTPTN yang cemerlang dalam akademik berpeluang pula menukar pinjaman menjadi biasiswa.

Lantas, beliau berharap agar semua lapisan masyarakat yang pernah menerima bantuan pendidikan menunjukkan rasa syukur dan penghargaan dengan kembali berjasa menabur bakti kepada masyarakat dan negara.

“Sumbangan balik kepada negara dalam sebarang bentuk mengikut bakat dan kebolehan adalah bentuk patriotisme paling tepat untuk generasi selepas merdeka.
“Pendek kata, patriotisme hari ini bukan lagi bermakna berperang malah ia tidak ada kaitan dengan politik, sebaliknya ia merupakan satu semangat kebangkitan dalam diri untuk majukan bangsa dan negara,” hurai beliau secara mendalam

Thursday, December 13, 2012

Gagasan 1 Malaysia



Gagasan 1Malaysia berpaksikan slogan “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”. Pelaksanaan Gagasan ini selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan prinsip-prinsip Rukun Negara. IMalaysia bermatlamat menyemarakkan semula semangat perpaduan dan persaudaraan dalam kalangan rakyat Malaysia.

ASPEK-ASPEK UTAMA 1MALAYSIA                                            

Aspek Pertama – Penerapan Teras-Teras Perpaduan

Prinsip Penerimaan
Satu kaum menerima keunikan kaum yang lain seadanya agar dapat hidup bersama dalam keadaan saling hormat menghormati antara satu masa lain.

Prinsip Kenegaraan
Meningkatkan semangat nasionalisme dan cintakan negara selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

Prinsip Keadilan Sosial
Semua rakyat Malaysia akan terbela dan setiap wakil rakyat melebarkan khidmat melepasi sempadan kaum masing-masing.

PENERAPAN NILAI-NILAI MURNI

· Kesederhanaan
Sederhana daripada segi pertuturan, berbelanja, berpakaian, makan minum, serta sederhana dari segi aspek bekerja dan berehat.

· Rendah Hati (Tawadhuk’)
Sifat rendah hati, sedia untuk mendengar, tidak sombong, tidak ego dan tidak bongkak perlu diterapkan dalam diri.

· Berbudi Bahasa
Berbudi bahasa, menjaga tutur kata, tingkah laku, tertib dan sentiasa bersopan santun ketika berinteraksi tanpa mengira status, kaum dan agama.

· Hormat-Menghormati
Saling menghormati perbezaan kaum, agama, budaya dan kepercayaan kerana perbezaan tersebut menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang unik di mata dunia.

Aspek Kedua-Penerapan Nilai-Nilai Aspirasi

Budaya Berprestasi Tinggi (High Performance Culture)
Memastikan pencapaian berada ditahap terbaik dan bertaraf dunia serta kepimpinan yang dijalankan adalah berasaskan prestasi.

Budaya Ketepatan
Mengamalkan budaya ketepatan khususnya dari segi waktu dan mengutamakan kecekapan dalam melaksanakan semua tugas dan kewajipan.

Budaya Ilmu
Kecenderungan untuk sentiasa memburu pengetahuan yang terkini dan kesediaan untuk menimba ilmu sepanjang hayat.
Integriti
Memiliki integriti yang tinggi iaitu sifat amanah, bersih dan cekap selain berusaha memperbaiki kesilapan bagi mendapatkan hasil yang sempurna dalam melaksanakan sebarang tugas dan tanggungjawab.

Ketabahan
Tidak mudah mengaku kalah, memiliki keyakinan diri yang tinggi, semangat juang yang kental, dedikasi serta tabah menghadapi segala rintangan dan dugaan.

Kesetiaan
Berpegang teguh kepada prinsip kedua Rukun Negara iaitu Kesetiaan kepada Raja dan Negara dan semua kaum perlu mengutamakan kesetiaan dan kepentingan negara mengatasi kesetiaan kepada kaum dan kelompok sendiri.

Kebijaksanaan
Bijak membuat keputusan dengan tepat, tahu membezakan yang baik dan buruk, bijak meletak sesuatu kena pada tempatnya serta tidak mudah terpengaruh dengan nafsu dan kepentingan sendiri.

Budaya Inovasi
Bersedia mencuba perkara baru, berani berubah demi kebaikan dan sentiasa bersedia untuk menjadi perintis dalam setiap bidang yang diterokai.

Monday, December 10, 2012

Langkah-langkah untuk memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan kanak-kanak

Nilai murni boleh ditakrifkan sebagai amalan yang baik dalam kehidupan, umpamanya hormat-menghormati, tolong-menolong, prihatin, bersimpati, berperikemanusian dan lain-lain lagi.  Namun, pada era dunia tanpa sempadan ini, amalan murni ini semakin lenyap ditelan zaman.
Obligasi untuk memupuk nilai-nilai murni ini tidak harus dipandang enteng oleh setiap ibu bapa dan haruslah dijulang sampai ke langit.  Ibu bapa harus mendidik amalan ini sejak anak-anak merah tapak kaki lagi, bak kata pepatah, melentur buluh, biarlah dari rebungnya.  Hal ini kerana secara analoginya, kanak-kanak diibaratkan kain putih dan ibu bapa merupakan warna yang akan mencorakkan kehidupan anak-anak mereka.  Misalnya, ibu bapa harus menerapkan ajaran agama yang mantap dalam atma anak-anak dengan membawa mereka untuk mendekati Tuhan seperti dengan bersembahyang dan mengikut anutan agama masing-masing.  Selain itu, mereka haruslah mengajar anak-anak untuk menghormati orang tua dan menyayangi haiwan.  Mereka mestilah  memberi amaran kepada kanak-kanak supaya tidak bersikap biadab terhadap sesiapa sahaja apatah lagi ahli keluarga sendiri.  Malah, mereka harus mendidik kanak-kanak tentang cara bercakap dengan orang tua dan tingkah laku semasa berada di rumah orang.  Apabila selalu terdedah kepada pengajaran sedemikian, kanak-kanak boleh membezakan antara intan dengan kaca dan antara batu dengan permata. Dalam konteks ini, ibu bapa juga haruslah menjadi teladan yang terbaik kepada anak-anak dengan bersikap sopan santun kerana pepatah Melayu ada mengatakan bahawa bapa borek anak rintikIkhtisarnya, ibu bapa perlu berpegang kepada prinsip jika menebang menuju pangkal, jika melanting menuju tangkai dalam mendidik anak-anak agar mereka mengamalkan nilai-nilai murni  yang disanjungi, bak rangkap sajak berikut,

Hikayat Melayu disanjungi warisan,
Menjadi wahana penglipur nestapa,
Anak bersopan tonggak wawasan,
Berkat usaha ibu dan bapa.

Sementelahan itu, peranan pendidikan formal dalam memupuk nilai-nilai murni dalam sukma kanak-kanak tidak harus kita kesampingkan.  Amalan nilai-nilai murni dalam kehidupan misalnya nilai bertanggungjawab, rasional, kepercayaan kepada Tuhan, amanah, toleransi, berhemah tinggi, kesederhanaan, kasih sayang, menyayangi dan menghargai alam sektiar, hidup bersama secara aman, mematuhi peraturan dan undang-undang wajar diterapkan dalam subjek Pendidikan Moral,  Pendidikan Sivik Dan Kewarganegaraan, serta Pendidikan Agama Islam.  Kendatipun, untuk mencapai misi yang komprehensif dan konkrit, nilai-nilai murni haruslah diamalkan secara berkesan.  Bertitik tolak daripada itu, pihak sekolah boleh menganjurkan minggu Budi Bahasa Budaya Kita dan memberi anugerah Pelajar Sopan kepada pelajar yang bersikap sopan santun, menghormati guru-guru dan berhemah tinggi sepanjang  berada di sekolah supaya boleh menjadi suri teladan kepada pelajar lain.  Tambahan pula, para pendidik  harus mementingkan amalan nilai murni dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) dengan mengajar murid-murid terutama pelajar sekolah rendah tentang adab sopan ketika berada di dalam kelas, adab sopan ketika berkomunikasi dengan guru dan rakan.  Hal ini kerana misi pendidikan negara kita bukan sahaja untuk melahirkan pelajar yang cemerlang dalam kurikulum dan kokurikulum, malah juga untuk melahirkan modal insan yang mengamalkan nilai-nilai murni, bermoral dan bertatasusila, sejajar dengan prinsip kelima Rukun Negara, yakni Kesopanan dan Kesusilaan.  Deduksinya, sudah terang lagi bersuluh bahawa pendidikan merupakan senjata yang dominan untuk memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan kanak-kanak. 
Rentetan iu, kerajaan juga sewajarnya memandang serius masalah yang berkaitan sahsiah kanak-kanak bagai menghela rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berserak.  Pihak kerajaan sepatutnya bersendel bahu dengan pihak media massa dan badan bukan kerajaan (NGO) seperti Astro, Persatuan Karyawan Malaysia dan lain-lain lagi untuk menggerakkan kempen Budi Bahasa Budaya kita secara menyeluruh di tanah air kita kerana bersatu teguh bercerai roboh. Barangkali, kempen yang dianjurkan oleh kerajaan tidak berkesan kerana tidak disokong oleh banyak pihak, termasuklah syarikat-syarikat swasta yang bersikap bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Buktinya, kempen Kami Prihatin gagal mengurangkan “kemelut sosial” yang semakin berleluasa dalam masyarakat kita, iaitu isu pembuangan bayi.  Berikutan itu, kempen Budi Bahasa Budaya kita hanya akan berjaya sekiranya semua pihak melibatkan diri dalam pelaksanaannya. Dalam pada itu, kempen ini perlu disempurnakan di peringkat awal persekolahan, iaitu tadika untuk memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan kanak-kanak.  Ceramah, pertandingan menulis esei, melukis poster, pertandingan syarahan, pertandingan kuiz dan sebagainya boleh dilaksanakan sempena kempen ini.  Pihak sekolah pula haruslah mewajibkan penglibatan murid-murid dalam kempen ini untuk memastikan keberkesanannya, bak kata pepatah, bulat air kerana pembuluh, bulat kata kerana muafakat.  Selain itu, kempen tersebut haruslah disokong oleh artis-artis tempatan dan luar negara yang menjadi idola masyarakat, seiring dengan trend pemuda-pemudi kini yang suka mengikut jejak langkah idola mereka dari semua aspek.  Jelaslah menunjukkan bahawa kempen-kempen yang mendapat sokongan semua pihak mampu mencapai matlamat melahirkan kanak-kanak yang bersahsiah mulia.
Di samping itu, peranan media massa, sama ada media cetak dan media elektronik amat dominan dalam usaha memupuk nilai-nilai murni dalam atma kanak-kanak.  Berdasarkan penyelidikan, dipercayai bahawa kecanggihan teknologi media seperti televisyen, radio dan internet serta akhbar arus perdana mampu mempengaruhi akhlak kanak-kanak kerana kanak-kanak pada era moden ini sememangnya sudah celik teknologi maklumat.  Mereka akan  tergila-gila kepada media baru.  Oleh hal yang demikian, pihak media massa bolehlah mengambil kesempatan ini untuk menyiarkan iklan, dokumentari, drama dan paling penting, siaran kartun yang semestinya menjadi kegemaran kanak-kanak. Misalnya, iklan tentang seorang kanak-kanak yang memberi tempat duduk kepada orang tua di dalam komuter yang kerap disiarkan di TV3 dan iklan kanak-kanak membantu seorang wanita tua mengangkat barang amat berkesan kepada penonton.  Malahan, drama-drama seperti “Precious Babies”, “Three Pads”, “One Mom”, “Hwang Jin Yi”, “Next Stop, Happiness” dan lain-lain lagi mengandungi  babak-babak yang menonjolkan kepentingan nilai-nilai murni yang boleh dipelajari dan seterusnya diamalkan oleh kanak-kanak dalam kehidupan seharian. Jadi, sudah terang lagi bersuluh, bahawa media massa merupakan wadah yang paling sesuai untuk memupuk nilai-nilai murni dalam sanubari kanak-kanak. 
Akhirulkalam, semua pihak sewajarnya berganding bahu untuk mengorak langkah yang afdal bagi memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan kanak-kanak agar memacu pembangunan negara untuk memakbulkan hasrat mencapai Wawasan 2020.  Kita sedia maklum bahawa kekurangan nilai-nilai murni dalam  diri individu akan menyumbang kepada pelbagai gejala sosial yang semakin meruncing dalam masyarakat.  Selaras dengan peribahasa Melayu yang mengatakan tiada keruh yang tidak dapat dijernihkan, tiada kusut yang tidak dapat dileraikan, bersama-samalah kita memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan kanak-kanak.