Monday, December 10, 2012

Penerapan Modal insan yang efektif oleh pengurusan sekolah terhadap pelajar

Pengenalan
Teras ke-2 Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010 menegaskan bahawa, aset yang paling berharga bagi sesebuah negara adalah warganya. Modal insan inilah yang merupakan aset yang boleh disuntik nilai tambahnya, ditingkatkan nilai inteleknya serta diperkaya modal budayanya.
Adman Smith (1776) , menyatakan modal manusia didefinisikan sebagai modal tetap. Beliau menyatakan:
“…….. Ia tidak termasuk manusia sebagai modal manusia, walau bagaimanapun semua manusia mencari pendidikan, atau latihan ia memerlukan perbelanjaan, oleh itu manusia dianggap sebagai modal tetap…..” (sumber: Shahril Marzuki),

Alfred Marshall (1930) menyatakan bahawa manusia dianggap modal, dimana melalui latihan dan pengalaman akan meningkatkan pengeluaran pekerja dan akhirnya mempunyai kesan kepada ekonomi negara. ( Sumber : Shahril Marzuki)

Schultz (1963), pula menyatakan bahawa manusia ialah modal terutama apabila manusia mempunyai pengetahuan atau ilmu dan kemahiran yang diperolehi melalui pendidikan. (Sumber: Shahril Marzuki).
Definisi Modal Insan
Modal insan juga ditakrifkan oleh Mincer dan Gary Backer sebagai aset-aset yang dimiliki oleh seseorang individu dan individu memperolehi pulangan melalui aset-asetnya. Aset-aset yang dimaksudkan ialah ilmu pengetahuan, pengalaman, kemahiran, akal, peribadi, jiwa, nilai-nilai murni, fikiran dan intelek.

Modal insan juga boleh diertikan sebagai himpunan pengetahuan, kemahiran dan keupayaan yang dimiliki oleh seseorang individu yang boleh digunakan untuk menggerak kerja yang berfaedah bagi individu, organisasi dan persekitarannya.


Oleh itu, apa yang dimaksudkan dengan modal insan menurut prespektif Islam ialah satu keunggulan keperibadian yang dimiliki oleh manusia melalui penguasaan ilmu pengetahuan, kemahiran yang tinggi dan akhlak yang mulia dalam konteks melaksanakan tugas dan tanggungjawab bersama yang diamanahkan bagi meningkatkan kemakmuran bagi manusia dan alam seluruhnya. (Dr Abd Rahman bin Ahmad 2006). Modal insan yang berkualiti menurut islam juga adalah manusia yang mengenal hakikat diri, kenal tuhan dan tunduk patuh kepadanya. Diri yang ‘Kamaliah’ luaran dan dalamannya. Sedar akan dirinya selaku hamba dan khalifah Allah di muka bumi.


Pendidikan memainkan peranan penting dalam usaha membangunkan modal insan yang mempunyai jati diri yang kukuh, berketrampilan, berkeperibadian mulia, berpengetahuan luas dan berkemahiran tinggi bagi mengisi keperluan negara maju menjelang tahun 2020. Nilai tambah yang perlu ada pada modal insan yang diingini adalah dari segi modal pengetahuan, kemahiran, keperibadian, rohani dan jasmani. Kesemua nilai tambah ini dapat disuntik sewaktu mereka berada dalam alam persekolahan. Di peringkat sekolah merupakan masa yang amat penting dalam pembentukan peribadi seseorang manusia. Ia merupakan satu pendidikan formal yang lengkap kurikulumnya bersesuaian dengan tahap umur dan pencapaian seseorang murid dilingkungan di mana mereka berada. 


Secara ringkasnya modal insan merupakan individu yang berilmu, berkeyakinan, mempunyai nilai murni dan moral yang tinggi, beretika, berbudi pekerti, bersopan-santun, berdisiplin, dinamik, inovatif, kreatif, sihat, bersemangat patriotik, adil, progresif, cekal dan berdaya saing.

Bagaimana modal insan boleh diterapkan kepada pelajar
Program Kurikulum dan Ko-kurikulum

Kelab dan Persatuan


Aktiviti Persatuan dan Kelab juga menyumbang dalam pembentukan ketrampilan dan keperibadian yang tinggi dalam kalangan pelajar-pelajar. Aktiviti yang dijalankan melalui Persatuan dan Kelab juga merupakan satu cara pembelajaran yang berasaskan gerak kerja terancang dan ia adalah lanjutan daripada proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Oleh itu aktiviti berpesatuan dan kelab dapat melengkapkan pelajar dengan sifat-sifat kecemerlangan diri, seperti kepimpinan, mempunyai daya saing, jati diri, kreatif, kritis, berkeyakinan tinggi dan mempunyai daya tahan disamping menyediakan peluang kepada pelajar untuk berinteraksi antara satu sama lain, dapat memupuk nilai-nilai murni, seperti kerjasama , semangat kekitaan , menambah , mengukuh dan mengamalkan pengetahuan, kemahiran yang dipelajari di bilik darjah dalam menjayakan aktiviti-aktiviti yang telah dirancang dan dilaksanakan.




Sukan dan Olahraga


Semasa sessi latihan sukan dan olahraga, pelajar – pelajar diberikan ilmu pengetahuan mengenai sesuatu permainan , undang-undang dan kemahiran yang perlu mereka kuasai. Apabila mereka bermain di gelanggang mereka akan menggunakan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang telah diperolehi daripada guru. Mereka juga mengamalkan budaya bagaimana untuk bekerjasama, hormat-menghormati, berdisiplin ,bersaing dalam suasana yang sihat, bertoleransi, bertanggungjawab dan sentiasa mempunyai semangat juang yang tinggi di samping dapat memelihara kesihatan fizikal dan mental, menggalakkan interaksi dan integrasi diantara pelajar-pelajar dan menjalin hubungan rapat antara sekolah dengan masyarakat.




Unit beruniform


Semasa latihan dijalankan pelajar-pelajar didedahkan dengan latihan kawad, gotong- royong, berkhemah, latihan kecemasan dan sebagainya . Melalui aktiviti ini nilai-nilai murni seperti kerjasama , keberanian, berdikari, kejujuran , taat setia kepada ketua serta semangat bermasyarakat dapat diterapkan. Seterusnya membuktikan bahawa melalui aktiviti unit beruniform dapat membentuk ketrampilan dan keperibadian yang tinggi dalam kalangan muri-pelajar khususnya membina semangat bekerjasama, mematuhi pemimpin dan memupuk budaya mencintai sekolah, masyarakat dan negara.




Program pembangunan rohani dan pembudayaan adab dan budi bahasa.


Penekanan kepada pembangunan insan terutama dalam aspek rohani dan spiritual amat dititik beratkan oleh pihak sekolah. Pihak sekolah menyedari bahawa modal insan yang hendak dibentuk bukan sahaja cemerlang dalam aspek kurikulum dan kokurikulum tetapi aspek pembangunan rohani turut ditekankan. Program pembangunan insan dan rohani yang diadakan adalah seperti Pembangunan Sahsiah, Majlis Tazkirah, Bacaan Yasin dan Solat Hajat, Ceramah-ceramah Agama, Seminar dan Bengkel berunsurkan pembangunan insan dilakukan sempena sambutan hari kebesaran Islam seperti Ma’al Hijrah, Isra’ Mikraj, Maulidur rasul, Awal Muharam, Bulan Ramadhan , Kursus Haji, Kursus Pengurusan Jenazah dan Kem Jati Diri. Kesemua program ini bertujuan untuk menyedarkan pelajar terutama yang beragama Islam bahawa sebagai hamba Allah mereka perlu patuh dan taat kepada ajaran Islam yang sebenar dan mengamalkan sifat-sifat mahmudah atau terpuji dan menjauhkan sifat-sifat mazmumah atau terkeji supaya menjadi umat yang cemerlang dalam kehidupan di dunia dan akhirat. 


Warga sekolah yang bukan beragama Islam tidak dipinggirkan begitu sahaja mereka diajar dengan Subjek Pendidikan Moral. Subjek ini menekankan aspek kerohanian, kemanusiaan dan kemasyarakatan. Penumpuan adalah ke arah pemupukan nilai-nilai moral yang terdapat dalam agama, tradisi dan adat resam pelbagai kaum di Malaysia . Penekanan pengajaran ke arah pemupukan, penghayatan dan penerapan nilai-nilai murni, 16 nilai yang telah di terima oleh Jawatankuasa Pendidikan Akhlak 1976 diajar kepada murid-murid sebagai asas pembentukan peribadi. Nilai-nilai ini mampu menjadikan pelajar insan dan warganegara yang baik serta berakhlak mulia, berilmu pengetahuan dan bertanggungjawab kepada diri, masyarakat dan negara. Nilai-nilai itu terdiri daripada baik hati, berdikari, berhemah tinggi, kesyukuran, hormat-menghormati, kasih sayang , keadilan , kebebasan, keberanian, kebersihan fizikal dan mental, kejujuran, kerajinan, kerjasama, keederhanaan, rasional dan semangat bermasyarakat. 



Lawatan Khidmat Masyarakat ke Rumah Seri Kenangan Cheng, Melaka



Lawatan Khidmat Masyarakat ke Rumah Seri Kenangan Cheng, Melaka


Dalam konteks pendidikan, budi bahasa dan adab sopan telah termaktub dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan menerusi pelaksanaan KBSR dan KBSM, penggabungjalinan ilmu dan penerapan nilai-nilai murni merentasi kurikulu. Untuk memantapkan keperibadian pelajar program adab dan budi bahasa diwujudkan di sekolah ini. Di antaranya ialah program Bulan Budi Bahasa, Sayangi Rakan Anda, Rumahku Syurgaku, Jalinan Mesra dan Program Hulurkan Tanganmu. Program ini dilaksanakan bersesuaian dengan matlamat Kementerian Pelajaran Malaysia iaitu memastikan budi bahasa dan nilai-nilai murni dibudayakan pada peringkat sekolah secara berterusan agar pelajar dapat menghargai dan mengamalkan nilai dan budaya bangsa dalam kehidupan seharian. Kesimpulan Dasar Kementerian Pelajaran Malaysia adalah jelas iaitu membangunkan modal insan yang mempenyai pengetahuan dan kemahiran serta menghayati nilai-nilai murni. Manakala matlamatnya pula adalah untuk memupuk semangat menguasai ilmu pengetahuanm kemahiran dan kompetensi, menerapkan nilai, moral dan sikap positif serta membina disiplin diri di kalangan pelajar. Semua program ini merupakan program yang menyeluruh yang meliputi kurikulum, kokurikulum dan semua aspek kehidupan pelajar yang termaktub dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaa. Semuga program – program yang dilaksanakan ini dapat dikekalkan serta diberi penambahbaikan dari masa kesemasa untuk membangunkan lebih ramai modal insan yang berkualti dan berakar di peringkat nasional dan berakal di peringkat internasional. Program-program ini juga diharapkan akan menjadi contoh atau rujukan kepada sekolah-sekolah lain atau institusi pendidikan lain di dalam negara atau diluar negara.

Wednesday, December 5, 2012

Kepentingan memupuk Nilai Murni

Usaha kerajaan untuk menerapkan nilai-nilai murni di dalam hati nurani rakyatnya telah mula menampakkan hasil. Usaha melalui iklan, kempen, dan dasar kerajaan telah memberi satu nafas baru kepada masyarakat untuk menjadi satu masyarakat bertamadun yang mampu menjadikan negara kita lebih baik untuk didiami. Jadi, memang nilai-nilai murni memiliki kepentingan dalam pembentukan masyarakat.

Generasi muda yang dipupuk dengan nilai murni mampu mematuhi semua peraturan atau norma yang ditetapkan oleh masyarakat. Naluri generasi muda yang suka memberontak dapat dikawal melalui nilai-nilai murni yang mementingkan disiplin dalam usaha mematuhi peraturan yang telah ditetapkan. Jadi, memang satu perkara baik kalau nilai murni mampu menjadikan generasi muda sebagai satu golongan yang mematuhi peraturan negara.

Lantaran sikap generasi muda yang mematuhi peraturan dapat dijelmakan melalui sikap mereka yang tidak terbabit dalam sebarang aktiviti berunsur jenayah atau tidak bermoral. Kita tidak lagi mendengar remaja terbabit dalam peras ugut, terbabit dalam dadah, atau menjadi mat rempit. Remaja akan menjadi satu golongan yang dihormati oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum. Bukankah ini satu kejayaan nilai-nilai murni yang diterapkan oleh kerajaan?


Malah, hubungan antara kaum dapat dieratkan kerana dalam pemupukan nilai murni memang ditekankan perasaan saling hormat antara kaum. Semua kaum akan menghargai pengorbanan yang dilakukan oleh kaum lain tanpa menimbulkan sebarang isu sensitif kepada kaum lain. Keadaan ini menjamin keadaan negara dalam suasana yang harmoni dan sesuai untuk pertumbuhan ekonomi. Orang memberi, kita berasa, orang berbudi, kita berbahasa. 

Tambahan pula, imej negara akan terus dijulang oleh masyarakat antarabangsa. Rakyat negara ini akan dilihat sebagai masyarakat yang unik kerana moden tetapi mengekalkan budaya yang baik. Masyarakat juga masih mempunyai disiplin dan berperibadi mulia. Semua ini akan memberi satu tanggapan positif kepada negara kita. Rakyat kita akan dihormati di mana-mana tempat mereka berada.

Kesimpulannya, usaha menerapkan nilai-nilai murni seperti hormat orang tua, menjaga kesopanan di khalayak ramai, mengunjungi rumah jiran, dan berinteraksi antara kaum mampu melahirkan satu bangsa Malaysia yang moden tetapi penuh budaya tersendiri. Usaha ini harus diteruskan kerana generasi muda sering berubah dan keadaan turut berubah tetapi nilai murni akan terus kekal seperti tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan.

Sunday, December 2, 2012

Nilai Murni Gagasan 1 Malaysia


8 Nilai-nilai yang telah diketengahkan oleh YAB Perdana Menteri.


1) Ketabahan : Manusia yang mempunyai ketabahan yang tinggi dan kesungguhan abadi, tentu akan menjadi seorang manusia yang berjaya kelak. namun ketabahan ini perlu diselaraskan dengan jiwa yang murni dan ikhlas.

2) Penerimaan : Sesungguhnya manusia yang menerima mempunyai keberuntungan lebih dari mereka yang mengamalkan pemberian. Oleh yang demikian, jadilah manusia yang mampu dan mahu menerima ape sahaja ketentuan sama ada ianyan suka mahupon duka.

3) Pendidikan : Pendekatan penambaikan dalam sistem pendidikan menjurus kepada penaik tarafan sistem dan pembentukan prasarana pendidikan yang bermutu tinggi dan bertaraf antarabangsa.

4) Integriti : Integriti yang wujud dalam masyarakat terutama mereka yang bergelar pemimpin dan pekerja amatlah perlu dihalusi bagi mewujudkan suasana keberkesanan dalam perlaksanaan tatacara perkhidmatan yang lebih bermutu.

5) Meritokrasi : Sistem yang sekian lama mewujudkan sedikit ketidak puasan kepada masyarakat bukan bumiputera dan ia perlu di kaji dan dihalusi semula bagi memperseimbangkan hak-hak antara masyarakat malaysia dibawah gagasan baru ini.

6) Rendah Hati : Perlu di amalkan dimana juga, tak kira masa, tempat dan keadaanya. Agama Islam dan intipatinya menggalakkan masyarakat di muka bumi ini supaya merendah diri dan merendah hati dalam ape jua situasi.

7) Kesetiaan : Kesetiaan antara kawan dan lawan perlu diwujudkan bagi memperkasakan satu gagasan masyarakat yang memperjuangkan agama, nusa dan bangsa.

8) Budaya Kecemerlangan : Melalui cara dan pendekatan "KPI" iaitu key performance indicator, ia sedikit sebanyak meningkat kan daya mutu kerja perkhidmatan awan dan swasta bagi membantu kerajaan dan negara bergerak ke depan setanding negara-negara maju.


Nilai Murni 1 Malaysia

PENERAPAN NILAI-NILAI MURNI

KESEDERHANAAN

RENDAH HATI (TAWADHUK’)

BERBUDI BAHASA

HORMAT-MENHORMATI

KESEDERHANAAN
Rakyat yang tergolong dalam kategori ini termasuklah mereka yang sederhana dari segi pertuturan, berbelanja, berpakaian, makan minum, serta sederhana dari segi aspek bekerja dan berehat. Bagi pertuturan, sabda Rasulullah telah menjelaskan bahawa “Bercakaplah menurut tingkat kecerdasan pendengar”
Sementara sederhana dalam bekerja dan berehat bermaksud sentiasa menganggap kerja itu adalah suatu ibadah dan melakukannya demi untuk membantu rakyat.

RENDAH HATI (TAWADHUK’)
Untuk maju, sifat rendah hati juga perlu diamalkan dalam diri setiap rakyat. Sifat sedia untuk mendengar, tidak sombong, tidak ego dan tidak bongkak perlu diterapkan dalam diri kerana sesungguhnya Masyarakat Malaysia menghargai orang yang merendah diri atau Tawadhuk.

BERBUDI BAHASA
Sentiasalah amalkan sifat berbudi bahasa dengan siapa jua sekalipun tanpa mengira status, kaum dan agama. Setiap tutur kata harus dijaga, tingkah laku harus tertib dan sentiasa bersopan santun ketika berinteraksi.

HORMAT-MENGHORMATI
Setiap perbezaan yang ada di negara ini tidak kira perbezaan kaum, agama, budaya dan kepercayaan haruslah dihormatidan dihargai   kerana itulah   antara   faktor yang menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang unik di mata dunia.Selain itu, hormatilah juga dengan sejarah dan perjanjian yang berlaku pada satu ketika dahulu kerana tanpa sejarah, tidak mungkin kita akan berada pada tahap kemodenan yang kita sedang alami sekarang

Friday, November 30, 2012

Budi Bahasa Dan Nilai Murni Khazanah Kita

Malaysia hari ini, situasi negara semakin maju dan membangun dengan kepesatan dalam pelbagai bidang termasuklah pembangunan ekonomi, peningkatan kualiti hidup, masyarakat yang berilmu dan juga masyarakat yang berdaya maju.

Tambahan pula, prinsip pembangunan tersebut digilap dengan asas keIslaman yang dipandang sebagai suatu teori sejajar dengan kemajuan masyarakat. Islam Hadhari menjadi satu garis panduan berasaskan prinsip sebenar Islam di dalam menggalakkan peningkatan terhadap kemajuan dan pembangunan yang seterusnya akan menjamin kualiti hidup.

Masyarakat pula semakin sedar untuk hidup berlumba-lumba mempertingkatkan status kedudukan sebagai suatu kelompok yang berdaya maju dan bertanggungjawab terhadap hal ehwal dan permasalahan serta keperluan negara. Dengan sikap majoriti secara dominan sebagai suatu masyarakat produktif dan berwibawa, maka negara kita semakin menuju ke arah kecemerlangan, kegemilangan dan terbilang.

Di sebalik pembangunan fizikal dan kebendaan tersebut, kita sebagai masyarakat yang terbilang perlu mempunyai agenda tersendiri agar tidak semata-mata hanya mempunyai infrastruktur kelas pertama tetapi memiliki mentaliti kelas ketiga. Masyarakat perlu memperkukuh lagi aspek budi bahasa dan nilai-nilai murni yang semakin diabaikan sejak akhir-akhir ini.

Sebagai rakyat Malaysia kita perlu ada kesedaran mengenai asal usul dan acuan kita sendiri yang boleh dilabelkan sebagai "Orang Timur". Orang Timur bukan hanya dikenali dengan penilaian rupa bentuk fizikal sahaja. Akan tetapi kita mewarisi satu khazanah paling berharga yang yang menjadikan kita sebagai masyarakat Timur yang berwibawa.

Dari aspek kenegaraan pula, Perdana Menteri kita pada 11 Januari 2005 lalu menggambarkan bahawa "Budaya dan sistem nilai itulah yang sebenarnya menjadi kayu ukur dan mercu tanda sebuah negara maju." Demikian diucapkan pada majlis pelancaran Kempen Budi Bahasa dan Nilai-nilai Murni.

Demikianlah betapa pentingnya peranan budi bahasa dan nilai-nilai murni dalam aspek kemajuan kita "sendiri" sebagai masyarakat timur atau masyarakat ‘melayu'. Kepentingannya adalah meliputi matlamat Malaysia yang mempunyai matlamat mencapai Wawasan 2020 dan menjadi bangsa yang Cemerlang, Gemilang dan Terbilang. Matlamat yang lebih penting di sebaliknya adalah menjadi sebuah masyarakat yang maju mengikut cara kita sendiri dengan erti kata menambahkan peningkatan hidup dan kemajuan tanpa mengurangi nilai-nilai penting khazanah bangsa kita sendiri.

Budaya berbudi bahasa dan mengamalkan nilai-nilai murni bukan sekadar perlu dipertahankan bahkan perlu diperkayakan lagi agar ia tidak mengalami kepupusan serta sentiasa berkesinambungan untuk diwarisi daripada generasi ke generasi seterusnya. Usaha kita mempertahankan budaya dan adat resam perlu juga disertai dengan aspek tingkah laku berbudi bahasa.

Malaysia memerlukan pembangunan nilai dan budaya yang betul. Nilai-nilai yang terlibat adalah seperti ketulusan, kejujuran, intergriti, adil, amanah dan akauntabiliti. Dengan ini, kita bukan sahaja mampu membentuk aspek pembangunan luaran semata-mata, akan tetapi perlu juga memperbaiki aspek dalaman yang dikenali sebagai aspek keperibadian untuk menjadikan masyarakat kita sebagai suatu masyarakat yang benar-benar bertamadun.

Walaupun berbudi bahasa dan nilai-nilai murni itu secara istilahnya bukan disebut sebagai Akhlak mulia, namun ia tetap membawa maksud yang sama. Sesuai dengan galakan agama yang menyatakan kepentingan menjaga suara hati dan pertuturan sebagai garis permulaan mempertingkatkan budi pekerti diri. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dianiayakan. Dan (ingatlah) Allah sentiasa mendengar,lagi maha mengetahui." (Surah an-Nisa'ayat 148)

Rasulullah saw pernah bersabda yang maksudnya: "Sesungguhnya Allah menyukai sikap berlemah lembut dalam semua perkara."

Budi bahasa dan nilai-nilai murni harus dipraktikkan di setiap aspek kehidupan agar keindahan Islam itu akan memberi kesan baik yang menyeluruh terhadap kemaslahatan sesebuah masyarakat.

Masyarakat kini digesa untuk menghidupkan dan menghangatkan kembali nilai murni dalam kehidupan seharian. Walau apa pun status dan kerjaya kita sebagai seorang generasi millenium atau kita terlibat dengan penglibatan antarabangsa, maka berpasak teguhlah pada peribadi budi seorang yang berbudi bahasa.

Kemajuan dunia merangsang kita untuk bekerja, berdaya maju dan berusaha. Tetapi jangan sampai kemajuan itu mengajarkan kita pada perkara yang sebaliknya. Iaitu mengurangi nilai-nilai murni yang sedia ada dan pernah menjadi suatu kebanggaan atau aset bangsa.

Setiap golongan dan peringkat memainkan peranan untuk bekerjasama mempertahan dan memperkukuhkan budaya menjadikan budi bahasa dan pengamalan nilai-nilai murni sebagai satu cara dan gaya hidup berkesinambungan.

Permulaan yang baik adalah bermula daripada institusi keluarga yang menekankan tanggungjawab memberi pendidikan berdasarkan autoriti ibu bapa kepada anak-anak. Permulaan daripada kelompok keluarga adalah lebih berkesan dan lebih sesuai dijadikan sebagai tempat berkesinambungannya khazanah budaya berbudi bahasa dan nilai-nilai murni.

Dalam memanfaatkan kepentingan budi bahasa dan pengamalan nilai-nilai murni sebagai satu agenda pembangunan material dan mentaliti, adalah suatu yang perlu untuk membudaya dan memperteguhkan etika kerja berdasarkan pendekatan tersebut. Anggota perkhidmatan awam dan jabatan-jabatan yang bertanggungjawab dalam perkhidmatan penguatkuasaan seperti polis, imigresen dan semua yang terlibat dengan khidmat pelanggan khususnya haruslah memberi perkhidmatan dengan penuh beradab. Tutur kata yang mesra, bersopan dan sentiasa membantu adalah tunggak kecemerlangan bagi sesebuah perkhidmatan.

Suatu masa dahulu, senario di sekitar pengangkutan awam pernah menggambarkan suasana kesopanan dan budi bahasa yang boleh dibanggakan. Namun sekarang, masyarakat boleh merasa malu untuk mempraktikkan nilai-nilai murni di khalayak ramai kerana keprihatinan telah berkurang sehingga boleh muncul mentaliti mempersenda nilai-nilai yang baik.

Secara tidak sedar, pelbagai gejala negatif akan boleh timbul akibat daripada kepupusan budi bahasa dan nilai murni. Orang timur pada kebiasaannya memang lemah lembut dan sensitif jiwanya terhadap budi bicara. Hubungan dan keharmonian boleh porak peranda hanya kerana kekurangan budi bahasa. Bak kata pepatah "Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa".

Kalau tiada nilai-nilai murni, maka rosaklah tingkah laku masyarakat kita. Kerosakannya bukan hanya menyentuh aspek kesihatan atau kecacatan jiwa, bahkan menular ke pembangunan fizikal. Mentaliti kita adalah membina. Bukan merosak apa yang telah terbina. Tanpa nilai murni, remaja kita berperangai sewenang-wenangnya. Membudayakan vandalisme, gangsterisme, samseng jalanraya, gangguan seksual dan pelbagai jenis perlakuan delinkuen akan menjadi sorakan di persekitaran negara kita.

Justeru, setiap pihak perlu positif dan turut serta membudayakan budi bahasa dan nilai murni sebagai gaya hidup yang sempurna. Perjuangan sebuah bangsa itu bukan sekadar mempertahankan kuasa dan labelnya sebagai suatu ‘bangsa'. Tetapi harus diingat juga bahawa praktik di samping mempertahan dan memperkukuhkan khazanah bangsa adalah sangat bermakna.

Kerajaan negeri Johor mengenai agenda ini mempunyai pendekatan tersendiri yang bersifat holistik atau menyeluruh. Di bawah program Pembangunan Beridentiti, telah banyak program-program yang bermanfaat telah dirangka bagi mempastikan pembangunan masyarakat itu sejajar dengan mutu identiti tersendiri.

Di dalam memartabatkan khazanah budaya, sikap berbudi bahasa dan nilai-nilai murni, program pembentukan dan didikan kekeluargaan dikenal pasti sebagai satu pendekatan paling efektif dan mesra masyarakat. Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta'zim di negeri Johor telah menjalankan peranannya mendidik institusi keluarga melalui Modul Keluarga Sakinah yang menyentuh setiap peringkat kekeluargaan dari permulaan hidup hinggalah ke akhir hayat. Modul tersebut dikesan dapat menyerapkan sentimen mengamalkan nilai-nilai murni di peringkat keluarga.

Pemupukan nilai-nilai murni ini juga diserapkan melalui pendekatan tidak langsung menerusi program-program sihat di dalam memastikan kebudayaan dan kesenian adalah seiring dengan pembangunan ekonomi dan fizikal. Kerajaan negeri terus memberi tumpuan terhadap pembangunan seni dan budaya yang meliputi bidang teater, permainan tradisional, seni tari,seni muzik, seni silat, pemuliharaan budaya, Kembara Puisi Darul Ta'zim dan sebagainya. Penglibatan-penglibatan ini diharap dapat memberikan kesan halus kepada masyarakat Johor untuk menghayati nilai-nilai murni di sebalik kebudayaan-kebudayaan tertentu.

Program-program Gaya Hidup Sihat juga banyak menitik beratkan sumber nilai-nilai murni apabila kerajaan menggalakkan penglibatan sukarela daripada hampir setiap golongan menyertai Program Rakan Muda, J-Robik, Belia dan PROSTAR.

Negeri Johor akan terus menerus mempertahankan budaya agar nilai-nilai murni dan budi bahasa yang dianggap paling penting di dalam pengamalan budaya itu dapat diperah dan menjadi identiti masyarakat secara umumnya.