Nilai
murni boleh ditakrifkan sebagai amalan yang baik dalam kehidupan,
umpamanya hormat-menghormati, tolong-menolong, prihatin, bersimpati,
berperikemanusian dan lain-lain lagi. Namun, pada era dunia tanpa
sempadan ini, amalan murni ini semakin lenyap ditelan zaman.
Obligasi untuk
memupuk nilai-nilai murni ini tidak harus dipandang enteng oleh setiap
ibu bapa dan haruslah dijulang sampai ke langit. Ibu bapa harus
mendidik amalan ini sejak anak-anak merah tapak kaki lagi, bak kata
pepatah, melentur buluh, biarlah dari rebungnya. Hal ini kerana secara analoginya,
kanak-kanak diibaratkan kain putih dan ibu bapa merupakan warna yang
akan mencorakkan kehidupan anak-anak mereka. Misalnya, ibu bapa harus
menerapkan ajaran agama yang mantap dalam atma anak-anak
dengan membawa mereka untuk mendekati Tuhan seperti dengan
bersembahyang dan mengikut anutan agama masing-masing. Selain itu,
mereka haruslah mengajar anak-anak untuk menghormati orang tua dan
menyayangi haiwan. Mereka mestilah memberi amaran kepada kanak-kanak
supaya tidak bersikap biadab terhadap sesiapa sahaja apatah lagi ahli
keluarga sendiri. Malah, mereka harus mendidik kanak-kanak tentang cara
bercakap dengan orang tua dan tingkah laku semasa berada di rumah
orang. Apabila selalu terdedah kepada pengajaran sedemikian,
kanak-kanak boleh membezakan antara intan dengan kaca dan antara batu
dengan permata. Dalam konteks ini, ibu bapa juga haruslah menjadi
teladan yang terbaik kepada anak-anak dengan bersikap sopan santun
kerana pepatah Melayu ada mengatakan bahawa bapa borek anak rintik. Ikhtisarnya, ibu bapa perlu berpegang kepada prinsip jika menebang menuju pangkal, jika melanting menuju tangkai dalam mendidik anak-anak agar mereka mengamalkan nilai-nilai murni yang disanjungi, bak rangkap sajak berikut,
Hikayat Melayu disanjungi warisan,
Menjadi wahana penglipur nestapa,
Anak bersopan tonggak wawasan,
Berkat usaha ibu dan bapa.
Sementelahan
itu, peranan pendidikan formal dalam memupuk nilai-nilai murni dalam
sukma kanak-kanak tidak harus kita kesampingkan. Amalan nilai-nilai
murni dalam kehidupan misalnya nilai bertanggungjawab, rasional,
kepercayaan kepada Tuhan, amanah, toleransi, berhemah tinggi,
kesederhanaan, kasih sayang, menyayangi dan menghargai alam sektiar,
hidup bersama secara aman, mematuhi peraturan dan undang-undang wajar
diterapkan dalam subjek Pendidikan Moral, Pendidikan Sivik Dan
Kewarganegaraan, serta Pendidikan Agama Islam. Kendatipun,
untuk mencapai misi yang komprehensif dan konkrit, nilai-nilai murni
haruslah diamalkan secara berkesan. Bertitik tolak daripada itu, pihak
sekolah boleh menganjurkan minggu Budi Bahasa Budaya Kita dan memberi
anugerah Pelajar Sopan kepada pelajar yang bersikap sopan santun,
menghormati guru-guru dan berhemah tinggi sepanjang berada di sekolah
supaya boleh menjadi suri teladan kepada
pelajar lain. Tambahan pula, para pendidik harus mementingkan amalan
nilai murni dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) dengan
mengajar murid-murid terutama pelajar sekolah rendah tentang adab sopan
ketika berada di dalam kelas, adab sopan ketika berkomunikasi dengan
guru dan rakan. Hal ini kerana misi pendidikan negara kita bukan sahaja
untuk melahirkan pelajar yang cemerlang dalam kurikulum dan
kokurikulum, malah juga untuk melahirkan modal insan yang mengamalkan
nilai-nilai murni, bermoral dan bertatasusila, sejajar dengan prinsip
kelima Rukun Negara, yakni Kesopanan dan Kesusilaan. Deduksinya, sudah terang lagi bersuluh bahawa pendidikan merupakan senjata yang dominan untuk memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan kanak-kanak.

Di
samping itu, peranan media massa, sama ada media cetak dan media
elektronik amat dominan dalam usaha memupuk nilai-nilai murni dalam atma
kanak-kanak. Berdasarkan penyelidikan, dipercayai bahawa kecanggihan
teknologi media seperti televisyen, radio dan internet serta akhbar arus
perdana mampu mempengaruhi akhlak kanak-kanak kerana kanak-kanak pada
era moden ini sememangnya sudah celik teknologi maklumat. Mereka akan
tergila-gila kepada media baru. Oleh hal yang demikian, pihak media
massa bolehlah mengambil kesempatan ini untuk menyiarkan iklan,
dokumentari, drama dan paling penting, siaran kartun yang semestinya
menjadi kegemaran kanak-kanak. Misalnya, iklan tentang seorang
kanak-kanak yang memberi tempat duduk kepada orang tua di dalam komuter
yang kerap disiarkan di TV3 dan iklan kanak-kanak membantu seorang
wanita tua mengangkat barang amat berkesan kepada penonton. Malahan,
drama-drama seperti “Precious Babies”, “Three Pads”, “One Mom”, “Hwang
Jin Yi”, “Next Stop, Happiness” dan lain-lain lagi mengandungi
babak-babak yang menonjolkan kepentingan nilai-nilai murni yang boleh
dipelajari dan seterusnya diamalkan oleh kanak-kanak dalam kehidupan
seharian. Jadi, sudah terang lagi bersuluh, bahawa media massa merupakan wadah yang paling sesuai untuk memupuk nilai-nilai murni dalam sanubari kanak-kanak.
Akhirulkalam, semua pihak sewajarnya berganding bahu untuk mengorak langkah yang afdal bagi
memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan kanak-kanak agar memacu
pembangunan negara untuk memakbulkan hasrat mencapai Wawasan 2020. Kita
sedia maklum bahawa kekurangan nilai-nilai murni dalam diri individu
akan menyumbang kepada pelbagai gejala sosial yang semakin meruncing
dalam masyarakat. Selaras dengan peribahasa Melayu yang mengatakan
tiada keruh yang tidak dapat dijernihkan, tiada kusut yang tidak dapat
dileraikan, bersama-samalah kita memupuk nilai-nilai murni dalam
kalangan kanak-kanak.
Maklumat yang bernas. Terima kasih
ReplyDeleteMaklumat yang memanfaatkan , terus usaha !
ReplyDelete