Monday, December 17, 2012

Menepati Janji Lambangkan Nilai Murni Dan Patriotisme




Menyentuh tentang slogan ‘Janji Ditepati’, Abdul Aziz berpendapat tema pilihan itu amat sesuai dan relevan dinyatakan sebagai tanda kejayaan Merdeka tahun ini.

Ini kerana, kerajaan telah melaungkan pelbagai janji dalam pelbagai kempen sejak sebelum Merdeka lagi, tetapi mereka tidak pernah menghampakan rakyat dalam menepati janji selepas setiap pilihan raya.

“Antara janji kerajaan yang paling penting adalah memastikan aspek keselamatan rakyat, bukan sahaja dalam tempoh setiap lima tahun pemerintahan tetapi untuk puluhan malah ratusan tahun panjang jangka masanya,” kata beliau.

Aspek keselamatan diusahakan kerajaan dengan tegas melalui usaha gigih pemimpin negara yang sama sekali tidak dapat ditandingi negara lain terutama banyak negara Arab dan Afrika yang sering dilanda wabak perang saudara.

Mengimbau kenangan kempen sebelum Merdeka 55 tahun lalu, beliau masih ingat Tuanku Abdul Rahman Putra berjanji akan membina jalan raya sempurna merentangi Johor hingga ke Kedah.

Walaupun secara berseloroh beliau menyebut ‘saya pun senang mau balik Kedah’, janji itu segera beliau tunaikan bersama janji-janji lain selepas Parti Perikatan menang pilihan raya.


CERMIN AKHLAK DAN ETIKA

Selain itu, ‘Janji Ditepati’ boleh dikira sebagai satu slogan yang cukup patriotik dijadikan tema negara lantaran nilai murni itu mencerminkan akhlak dan etika dalam kehidupan manusia.

Kupasan konsep menepati janji antara negara dan rakyat serta sebaliknya boleh juga ditafsirkan daripada sudut peluang pendidikan sejak awal kemerdekaan ketika rata-rata rakyat dibelenggu kemiskinan hingga ke zaman ini.

Ketulusan pemimpin membangunkan negara cukup terserlah apabila majoriti rakyat berjaya mengecapi kehidupan mewah dalam pelbagai bentuk, tetapi kerajaan masih tidak berhenti memastikan kita berpeluang mendapat pendidikan sempurna.

Presiden Institut Integriti Malaysia Datuk Dr Mohd Tap Salleh menunjukkan bahawa kerajaan masih membiayai lebih 80 peratus daripada kos pendidikan di negara ini walaupun kita jauh lebih kehadapan berbanding banyak negara lain.

“Ini adalah prinsip menepati janji yang amat menarik memandangkan ia dilakukan secara berterusan selama lebih 55 tahun tanpa gagal,” kata pemegang ijazah falsafah kedoktoran Perancangan Pembangunan daripada Universiti of Bath di United Kingdom.


NIKMAT PENDIDIKAN PERCUMA

Tidak banyak kerajaan di dunia yang menyediakan platform pendidikan percuma, manakala yang ada pun kebanyakannya sehingga tempoh pendidikan asas sahaja.

Beliau sendiri tidak segan mengakui pernah bergantung sepenuhnya kepada bantuan biasiswa kerajaan yang diterima sejak dibangku sekolah hingga ke peringkat ijazah di Monash University dan sarjana di University of Wales sebelum menerima PhD.

Hakikatnya bantuan itu banyak membantu kehidupan rakyat jelata ketika itu, termasuk keluarga beliau sendiri apatah lagi ibunya adalah ibu tunggal yang membesarkan anak-anak secara sendirian selepas kematian bapanya.

“Dulu ramai pelajar cemerlang tetapi yang kurang berkemampuan termasuk saya menerima pembiayaan penuh melanjutkan pelajaran hingga ke luar negara dan jasa itu dihargai melalui sumbangan perkhidmatan dalam kerajaan,” jelasnya yang telah berkhidmat sebagai pegawai tinggi kerajaan sejak 1973.

Kalau mengikut umur beliau telahpun bersara tujuh tahun lalu, tetapi beliau masih lagi bersedia menabur jasa dengan ikhlas hati selagi negara memerlukan ilmu dan pengalaman beliau.

“Untungnya, generasi selepas merdeka tidak perlu banyak bersusah payah kerana nikmat kemerdekaan dan peluang yang luas telah dibentangkan oleh generasi terdahulu,” kata Mohd Tap.

Untuk generasi zaman ini, tambahnya, kerajaan telah melantik pelbagai agensi untuk menyediakan bantuan pendidikan dalam usaha memastikan anak muda mendapat peluang pendidikan terbaik.

Beliau menyifatkan semua bentuk bantuan yang dicetus kerajaan merupakan satu bentuk kesaksamaan pendidikan sama rata yang membolehkan pelajar miskin berpeluang mendapat pendidikan setinggi yang boleh, sama seperti golongan kaya.

Bantuan ini termasuk Yayasan Pendidikan Mara, dan agensi lain yang menyediakan laluan pendidikan luar negara dalam pelbagai bidang selain pelbagai tabung pendidikan khas seperti PTPTN.


JANJI BAYAR BALIK PTPTN

“Menggunakan dana tabung itu sendiri telah mengikat pelajar dengan janji dan menjadi tanggungjawab peminjam untuk menepati janji melalui pembayaran semula dengan segera apabila mula bekerja,” kata Mohd Tap.

Baginya, membayar pinjaman bukan sahaja merupakan sifat menepati janji yang murni tetapi satu tindakan patriotik mulia yang boleh dilakukan generasi kini.

“Wang pembayaran balik itu akan diguna semula membantu generasi seterusnya mendapat pendidikan terbaik dan ini secara tidak langsung menjana pembangunan sosio-ekonomi anggota masyarakat,” jelas beliau.

Hakikatnya kebanyakan peluang pendidikan negara masih lagi percuma, malah peminjam PTPTN yang cemerlang dalam akademik berpeluang pula menukar pinjaman menjadi biasiswa.

Lantas, beliau berharap agar semua lapisan masyarakat yang pernah menerima bantuan pendidikan menunjukkan rasa syukur dan penghargaan dengan kembali berjasa menabur bakti kepada masyarakat dan negara.

“Sumbangan balik kepada negara dalam sebarang bentuk mengikut bakat dan kebolehan adalah bentuk patriotisme paling tepat untuk generasi selepas merdeka.
“Pendek kata, patriotisme hari ini bukan lagi bermakna berperang malah ia tidak ada kaitan dengan politik, sebaliknya ia merupakan satu semangat kebangkitan dalam diri untuk majukan bangsa dan negara,” hurai beliau secara mendalam

4 comments: